Skip to main content

PEMBANGUNAN ISLAM DI MALAYSIA

PENDAHULUAN

Pembangunan adalah merujuk kepada perubahan daripada satu keadaan kepada satu keadaan yang lebih baik, peningkatan kualiti hidup dan pembaharuan dalam kemajuan hidup.

Malaysia sememangnya merupakan sebuah negara Islam yang sedang membangun dan sering mendapat perhatian dunia. Ini tidak lain kerana pembangunan ekonomi dan kestabilan politiknya sekalipun penduduknya terdiri dari pelbagai kaum, bangsa dan agama. Keharuman negara ini terserlah apabila ia berjaya menjadi contoh dalam memajukan Islam dan memperbaiki taraf hidup rakyatnya yang beragama Islam tanpa menyekat kebebasan beragama bagi penganut-penganut agama lain dan tanpa menindas mana-mana kaum di negara ini.

Negara ini sedang berusaha gigih ke arah mengujudkan sebuah masyarakat maju beridentitikan nilai-nilai Islam. Ini berasaskan kepada kesedaran betapa pembangunan fizikal atau material tanpa disertai dengan pembangunan rohani lambat laun akan menjerumuskan negara ke jurang kehancuran lantaran sikap negatif dan salah laku masyarakatnya. Dalam ertikata lain, rakyat di negara ini akan diacu mengikut acuan Islam dan nilai-nilai murni sejagat serta pembangunan yang akan ditempa nanti tidak akan terpisah dari dasar-dasar yang digariskan oleh al-Quran dan Sunnah. Pendek kata, pembangunan fizikal dan ekonomi dalam menempuh alaf baru adalah seiringan dengan pembangunan rohani dan spiritual rakyat dan pemimpinnya.

BENTUK PEMBANGUNAN ISLAM

Pembangunan yang memberi perubahan satu keadaan kepada satu keadaan yang lebih baik merupakan satu keperluan yang dicari-cari oleh manusia. Namun demikian pembangunan yang dicari dan ingin digerakkan semestinya tidak boleh bertentangan dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri. Firman Allah s.w.t. dalam Surah As-Sajdah ayat 7-9 bermaksud:

'Dan Allah memulakan kejadian manusia daripada tanah kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati air yang hina (air mani), kemudian dia menyempurnakan kejadian manusia itu lalu meniupkan ke dalam (tubuh)nya roh (ciptaan)-Nya'.

Ayat ini menjelaskan bahawa manusia dijadikan dari dua unsur iaitu jasad dan roh maka dapatlah disimpulkan bahawa pembangunan kehidupan manusia hendaklah merangkumi kedua-dua aspek iaitu aspek jasmani (fizikal) dan aspek rohani (spiritual) iaitu bertepatan dengan fitrah kejadian manusia. Kedua-dua aspek pembangunan tersebut hendaklah seiring dan seimbang tanpa melebihkan atau mengurangkan salah satu daripadanya.

Pembangunan jasmani atau fizikal adalah merangkumi pembangunan aspek-aspek yang diperlukan oleh jasad manusia iaitu tempat tinggal, peralatan, kesihatan, alat-alat komunikasi, pengangkutan dan sebagainya.

Manakala pembangunan dari aspek rohani pula merangkumi pembangunan mental, jiwa, sikap dan emosi dalam diri manusia itu sendiri. Pembangunan mental bermaksud mengisinya dengan ilmu pengetahuan yang bermanfaat kepada diri, manusia dan alam seluruhnya. Pembangunan jiwa pula bermaksud menanamkan rasa keimanan kepada Allah Tuhan Yang Esa, malaikat, para rasul, kitab-kitab, hari akhirat dan qadha’ dan qadar.

Pembangunan sikap bermaksud mengasuh diri manusia sikap-sikap positif dan membina serta mengikis sikap yang negatif. Manakala pembangunan emosi pula bermaksud menjadikan manusia sebagai seorang yang matang dan mampu mengawal diri berasaskan ilmu dan pengalaman dalam menghadapi satu-satu kejadian atau peristiwa.

FALSAFAH PEMBANGUNAN ISLAM

Maksud falsafah dalam konteks pembangunan di sini ialah pendorong, cara dan halatuju satu-satu pembangunan itu dilakukan. Falsafah pembangunan Islam didirikan atas asas yang penting iaitu tauhid, rububiah (ketuhanan), khalifah dan al-Falah (kejayaan).

Tauhid

Maksud falsafah tauhid di sini ialah menyakini bahawa Allah merupakan satu-satunya Tuhan yang wajib disembah dan dipatuhi segala suruhan dan larangan-Nya. Hanya ajaran dan panduan-Nya sahaja yang boleh menjamin kebahagiaan dan kemakmuran hidup di dunia dan di akhirat. Ketepatan pembangunan dengan falsafah tauhid amat penting dalam menjamin keserasian pembangunan tersebut dengan fitrah kejadian manusia yang dibekalkan dengan ajaran Tuhannya.

Rububiah (Ketuhanan)

Rububiah memberi erti bahawa Allah berkuasa menjadikan, mengawal dan mentadbir manusia dan alam seluruhnya. Tiada sesiapapun dari kalangan manusia dan makhluk lain yang dapat menyaingi, mengatasi dan mengubah kawalan dan pentadbiran Allah s.w.t. itu. Peraturan-peraturan inilah apa yang dinamakan sebagai ‘sunnah alam’ seperti bukit bukau dan gunung ganang sebagai pasak bumi, hujan dan sungai sebagai bekalan air, lelaki dan perempuan saling memerlukan dan sebagainya. Oleh itu, pembangunan yang menyalahi peraturan ini akan mengalami kegagalan dan kekacauan hidup.

Khalifah

Falsafah manusia sebagai khalifah merupakan penggerak kepada manusia itu sendiri untuk melaksana dan mencorakkan pembangunan yang memenuhi keperluan manusia selari dengan peraturan yang telah ditetapkan Allah s.w.t. Firman Allah yang bermaksud:

'Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada sekalian malaikat: 'Sesungguhnya Allah akan jadikan di atas muka bumi ini khalifah'.

(Al-Baqarah: 30)

Manusia sebagai khalifah bermaksud menjadi wakil yang dilantik oleh Allah dalam mentadbir dan membangunkan muka bumi iaitu agen utama pembangunan muka bumi.

Al-Falah (Kejayaan)

Maksud al-Falah ini ialah kejayaan manusia menjalani kehidupan secara lancar dan harmoni tanpa digugat sebarang kerosakan atau kesempitan dan kejayaan mencapai kesejahteraan dan keselamatan di akhirat. Inilah yang dimaksudkan dalam firmah Allah s.w.t.:

'Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagaian) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan habuanmu dari (kenikmatan) di dunia'. (Al-Qasas: 77)

Oleh itu, sebarang pembangunan yang dilakukan mestilah memenuhi maksud al-Falah (kejayaan) di dunia dan di akhirat. Pengabaian salah satu dari al-Falah tersebut merupakan satu penyimpangan dari hakikat dan falsafah pembangunan Islam.

MATLAMAT PEMBANGUNAN ISLAM

Matlamat atau objektif pembangunan Islam adalah seperti berikut:

Pembangunan Sumber Manusia

Manusia merupakan agen pembangunan yang utama di muka bumi ini. Berjaya atau tidak pembangunan di dunia adalah bergantung kepada manusia. Oleh kerana itu, pembangunan sumber manusia menjadi fokus utama pembangunan Islam. Sumber manusia menjadi penentu dan kayu ukur kepada keupayaan satu-satu pembangunan yang dibina.

Dengan itu maka pembangunan Islam mesti menyediakan tenaga manusia dan barisan pelapis yang mencukupi untuk melaksanakan pembangunan yang cemerlang. Oleh sebab itulah maka dalam pembangunan Islam apa yang paling terserlah sekali ialah sistem latihan dan strategi penyediaan keupayaan manusia yang tersusun dan terancang dari aspek rohani dan jasmani.

Peningkatan Kualiti Hidup

Objektif pembangunan Islam yang seterusnya ialah meningkatkan kualiti hidup manusia yang mencakupi pelbagai aspek seperti peningkatan kualiti diri dari segi moral, akhlak dan sikap serta peningkatan kualiti keperluan hidup seperti ekonomi, sosial, politik dan sebagainya. Peningkatan kualiti hidup masyarakat dalam pembangunan sesebuah negara datangnya dari usaha setiap pihak iaitu bermula dari individu, keluarga dan masyarakat sehinggalah kepada pihak berkuasa yang memerintah.

Memanfaatkan Pengeluaran Yang Berguna

Memaksimumkan pengembangan pengeluaran yang bermanfaat merupakan objektif pembangunan Islam yang penting. Ini selaras dengan fimran Allah yang menjelaskan bahawa seluruh kejadian yang terdapat di alam ini adalah untuk dipergunakan dan untuk kemudahan manusia menjalani kehidupan. Firman Allah yang bermaksud:

'Dan Dialah yang menjadikan bagi kamu seluruh kejadian di bumi ini'.

(Al-Baqarah: 29)

Pengeluaran yang bermanfaat sama ada hasil galian, hasil tanaman atau hasil industri merupakan salah satu ciri keistimewaan bagi pembangunan sesebuah negara dan menjadi satu tuntutan Islam. Pembangunan yang mensia-siakan aset pengeluaran negara atau dibolot dan dieksploitasi oleh kuasa asing adalah lari dari matlamat pembangunan Islam.

ISLAM DAN PEMBANGUNAN

Islam tidak menghalang umatnya mengejar pembangunan asalkan cara pembangunan itu dicapai, diurus, ditadbir dan dimanfaatkan adalah tidak melampaui batas-batas hukum yang dibenarkan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

'Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa padahal kamu mengetahui'.

(Al-Baqarah: 188)

Umat Islam perlu mencapai kemajuan dan pembangunan dalam pelbagai aspek dengan niat untuk memperlihatkan keceriaan ummah dari segi fizikal, kerohanian, kesatuan, keselamatan, kebebasan, keterbukaan, ketenteraman, kebijaksanaan, kesihatan dan perpaduan.

Dengan demikian akan terbukti betapa Islam adalah satu-satunya panduan hidup yang mampu memberi dan menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Akan tertolaklah tuduhan yang dilemparkan oleh musuh-musuh Islam kononnya Islam adalah agama yang menolak kemajuan dan hanya sesuai untuk mereka yang berputus asa dan bebal sahaja.

Dalam pada itu, Islam tidak mahu pembangunan dan kemajuan yang palsu yang dibina atas asas yang rapuh iaitu kerakusan mengaut kekayaan peribadi, menindas, mengugut, rasuah, menipu, tamakkan kuasa atau mencetuskan permusuhan di kalangan rakyat.

Islam telah menggariskan sifat-sifat, keperibadian, budaya, imej dan sistem nilai yang perlu disemai, diamal dan dihayati oleh semua agen-agen pembangunan sama ada dalam merancang, menilai atau meluluskan satu-satu projek yang hendak dilaksanakan dalam sesebuah negara. Mereka semua tidak sewajarnya mengutamakan aspek material dan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan manusia dan makhluk seluruhnya. Ini penting bagi mengelakkan sebarang pembaziran, kecelakaan, pencemaran udara dan air serta pengondolan gunung dan pencerobohan hutan.

Pembangunan sewajarnya mendatangkan kemakmuran dan kesejahteraan kepada semua dan tidak pula menimbulkan apa-apa kerosakan, kerugian dan kebinasaan kepada mana-mana makhluk baik di daratan, lautan dan udara. Allah s.w.t. telah memberi ingatan kepada manusia bahawa apa jua kerosakan di muka bumi adalah angkara dari perilaku manusia itu sendiri di mana Allah tidak menjadikan sesuatu itu melainkan ada rukun sebab dan musabab yang mencetuskan natijah tersebut. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

'Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia supaya Allah merasakan kepada manusia sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar)'.

(Surah Ar-Rum : 41)

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

'Apa saja nikmat yang kamu perolehi adalah dari Allah dan apa saja bencana yang menimpamu maka dari (kesalahan) dirimu sendiri'.

(An-Nisaa’: 79)

Oleh itu, apa jua bentuk pembangunan seperti bangunan, peralatan, jentera, alat komunikasi, pengangkutan dan kenderaan yang dicipta hendaklah tidak menimbulkan kesan sampingan yang lebih mendatangkan bahaya daripada faedah kepada manusia dan makhluk yang lain. Dengan erti kata lain, ianya tidak ‘mesra’ alam. Di dalam kaedah Islam sekiranya sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan itu jelas akan mencetuskan banyak keburukan dari kebaikannya maka rancangan tersebut perlulah dibatalkan.

Dalam pada itu, Islam memberikan jalan keluar dari kesempitan terutama pada saat yang kritis sehingga tidak diwajibkan menjalankan kewajipan yang telah ditetapkan dan diperbolehkan melanggar sesuatu ketentuan agama dalam keadaan kesempitan itu. Hal ini dijelaskan di dalam kaedah usul fiqh: 'Keadaan darurat itu membolehkan yang diharamkan'. Ini kerana terkadang manusia tidak dapat melaksanakan apa yang diperintahkan Islam dalam keadaan sempit (darurat) kerana jika dikerjakan juga akan terjadilah suatu kemaksiatan yang lebih besar lagi.

Kelonggaran (rukhsah) dalam Islam ini membuka jalan kepada mencapai tingkat pembangunan, kesempurnaan dan kecemerlangan sesuai dengan kemampuan dan fitrah manusia itu sendiri dipelbagai zaman, masa dan di sebarang tempat.

Pembangunan Islam Di Malaysia

Pembangunan Islam di Malaysia kini jelas terbukti jika dibandingkan perkembangannya sekarang dengan kedudukan Islam pada zaman awal pertumbuhannya di Nusantara iaitu abad kedua belas yang lampau dan kedudukannya di awal kemerdekaan negara. Islam bukan sahaja telah mendapat tempat dalam dasar pentadbiran negara malahan semua arah tuju dasar negara dan proses pembangunannya secara beransur-ansur dipandu ke arah sasaran yang bertaut dengan nilai-nilai Islam sejagat. Apa yang lebih menariknya, kebanyakan dasar, strategi dan pelaksanaan pembangunannya tidak semua dilabelkan dengan perkataan ‘Islam’ tetapi maksud dan terasnya adalah berasaskan ajaran Islam berpandukan al-Quran, Sunnah, Qias dan Ijmak Ulama’.

Islam Sebagai Agama Rasmi Negara

Perlembagaan negara telah menerima Islam sebagai agama rasmi negara manakala penganut agama lain bebas mengamalkan agama mereka selama mana mereka tidak menggugat dan meracuni akidah umat Islam di negara ini. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Oleh kerana perkataan ‘Islam’ dan bukan ‘ugama Islam’ yang digunakan di Perkara 3 maka bolehlah dihujahkan bahawa apa yang dimaksudkannya ialah Islam sebagai cara hidup mengikut Islam iaitu Islam sebagai Ad-Din. Perkara 11(1) Perlembagaan memperuntukkan 'Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya, dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya'. Peruntukan ini jelas memberi hak orang-orang Islam menganut dan mengamalkan ajaran Islam iaitu Islam sebagai cara hidup mereka.

Fasal (4) menjamin dan memelihara akidah umat Islam daripada digugat oleh dakyah-dakyah agama lain di mana ia menyebutkan bahawa undang-undang boleh dibuat untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama terhadap orang-orang Islam.

Demikianlah betapa Islam mendapat kedudukan yang tertinggi di negara ini sebagai agama Persekutuan dan akidah umat Islam dipelihara dan dijamin di bawah Perlembagaan dan undang-undang dari terjebak kepada dakyah agama-agama lain.

Penggubal Dasar Bagi Hal Ehwal Islam

Atas kesedaran yang tinggi kepada perlunya satu badan bagi menggubal dasar dan menyelaras pembangunan dan kemajuan hal ehwal Islam di Malaysia maka Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah bersetuju menubuhkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) pada 17 Oktober, 1968. Seterusnya Kerajaan menubuhkan Urusetia kepada MKI ini iaitu Bahagian Ugama di Jabatan Perdana Menteri kemudian ditukar nama kepada Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) dan kini setelah dinaikkan taraf dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkuatkuasa pada 1 Januari, 1997.

Selain menjadi urusetia kepada MKI, JAKIM juga diberi mandat oleh kerajaan untuk menjadi Urusetia kepada badan-badan penyelaras membuat dasar mengenai hal ehwal agama Islam peringkat kebangsaan yang ditubuhkan kemudian, antaranya Jawatankuasa Kemajuan Hal Ehwal Islam, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Persidangan Pengerusi Hal Ehwal Islam Seluruh Malaysia, Persidangan Ketua Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia, Badan Perunding Islam dan banyak lagi.

Kesungguhan kerajaan dalam membawa pembangunan dan kemajuan Islam di Malaysia amat terserlah memandangkan kebanyakan anggota badan-badan penyelaras dan penggubal dasar mengenai hal ehwal Islam itu terdiri daripada para Mufti, Menteri-Menteri Besar, Pengerusi dan Pengarah Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, pakar akademik dan cendekiawan Islam dari pelbagai disiplin ilmu, para alim ulama’ dan tokoh-tokoh Islam.

Perundangan Islam

Sejarah perundangan dengan jelas membuktikan bahawa undang-undang Islam telah mantap dan dilaksanakan dalam pemerintahan Kerajaan Melayu sebelum kedatangan Inggeris. Terdapat bukti yang jelas menunjukkan undang-undang telah dikanunkan dengan cara teratur bagi pemakaian dan panduan kerajaan Melayu ketika itu seperti ‘Hukum Kanun Melaka’, ‘Undang-Undang Pahang’ dan ‘Undang-Undang Kedah’. Beberapa bahagian kanun tersebut adalah petikan daripada hukum fiqh Mazhab Syafie.

Selepas kedatangan Inggeris khususnya dengan penerimaan Sistem Residen, secara beransur-ansur dan sedikit demi sedikit prinsip undang-undang Inggeris dimasukkan ke dalam sistem pentadbiran, perundangan dan kehakiman. Akhirnya beberapa undang-undang seperti Kanun Keseksaan, Enakmen Keterangan dan Kanun Acara Jenayah telah diperundangkan di mana Undang-Undang Islam dalam bidang berkenaan tidak lagi berkuasa.

Berikutan dengan itu, perundangan Islam pun mula diperbuat dalam bentuk Enakmen dan Ordinan bagi mendapatkan penguatkuasaan undang-undang. Keadaan ini meletakkan kedudukan undang-undang Islam sama dengan bahagian undang-undang lain yang perlu dikanunkan. Cara ini telah diikuti hingga ke hari ini sepertimana yang diperjelaskan dalam Perlembagaan Negara. Ini didapati dalam Jadual Ke-Sembilan Senarai Negeri.

Penyelarasan Undang-Undang Islam

Memandangkan Islam di bawah bidang kuasa negeri dan Sultan sebagai Ketua Agama Islam (bagi negeri-negeri yang beraja) maka tidak dapat dielakkan berlakunya ketidakseragaman undang-undang Islam antara negeri-negeri.

Usaha-usaha untuk mengadakan undang-undang Islam yang selaras dan seragam di seluruh Malaysia telah bermula sejak sekian lama dan beberapa usaha telah diambil bagi maksud tersebut. JAKIM melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil telah banyak membantu menggubal undang-undang Islam yang disediakan sebagai ‘model’ untuk diterima pakai oleh negeri-negeri.

Usaha terbaru ialah JAKIM telah mengemukakan suatu cadangan supaya penyelarasan dan penyeragaman undang-undang Islam negeri-negeri dibuat melalui Mesyuarat Majlis Raja-Raja. Cadangan atas nama Kerajaan Pusat tersebut telah dipersetujui oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-176 pada 1 Ogos, 1997 yang lalu. Ekoran persetujuan itu, JAKIM dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara telah membuat kajian terperinci ke atas enam undang-undang utama negeri-negeri iaitu Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam, Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Kesalahan Syariah, Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah, Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah dan Undang-Undang Tatacara Mahkamah Syariah.

Beberapa siri pertemuan telah diadakan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Peguam Negara, Ketua Pengarah JAKIM dan Pengarah Bahagian Undang-Undang JAKIM dengan D.Y.M.M. Sultan Azlan Shah (selaku Penasihat Undang-Undang Majlis Raja-Raja) bagi membincangkan cadangan penyelarasan dan penyeragaman undang-undang tersebut. Kini cadangan rang undang-undang tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk kelulusan sebelum dikemukakan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Demikianlah kegigihan kerajaan dalam menyelaras dan menyeragamkan undang-undang Islam di Malaysia melalui pendekatan yang bijak dan hikmah iaitu cara rundingan dan perkenan daripada D.Y.M.M. Sultan-Sultan dan Raja-Raja selaku Ketua Agama Islam Negeri masing-masing. Semoga usaha dan cita-cita murni kerajaan dalam mengukuhkan Institusi Kehakiman dan Perundangan Islam di negara ini berjalan dalam keadaan lancar dan harmoni.

Pemurnian Akidah

Sebagaimana yang telah diakui bahawa kesucian akidah umat Islam di Malaysia terpelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan iaitu di bawah Perkara 11(4) yang melarang sebarang dakyah agama lain kepada umat Islam. Menyedari bahawa banyak faktor-faktor lain yang boleh menggugat kesucian akidah orang-orang Islam maka kerajaan telah menyusun pelbagai program yang berupa penjelasan, penerangan, kursus dan perbincangan khusus berkenaan perkara-perkara yang dapat memantapkan iman dan menguatkan keyakinan umat Islam.

Mereka yang baru memeluk Islam diberi kursus-kursus kefahaman dan penghayatan secara bersiri dan berjadual. Demikian juga kerajaan telah mengujudkan melalui JAKIM satu Unit Khas berkenaan ajaran sesat bagi menangani gejala penyelewengan akidah menerusi ajaran-ajaran salah dan sesat. Penubuhan Panel Kajian Akidah di JAKIM yang dianggotai oleh pakar akademik dan tokoh Islam banyak membantu JAKIM menangani masalah ini.

Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri-negeri juga mewajibkan kepada mana-mana individu yang ingin mengajar atau berceramah berkenaan agama Islam mendapatkan Sijil Tauliah Mengajar Agama dari pihak Jabatan/Majlis. Ini adalah langkah bijak bagi mengawal sebarang anasir-anasir atau pengaruh ajaran sesat daripada merebak. Mengajar agama tanpa tauliah adalah satu kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

Dalam pada itu, Jawatankausa Fatwa Kebangsaan tidak pernah teragak-agak mengeluarkan fatwa tentang penyelewengan satu-satu ajaran sesat sebaik sahaja dikenalpasti. Sehingga kini, JAKIM sentiasa menganjurkan kursus-kursus pemurnian akidah kepada bekas-bekas kumpulan ajaran sesat bagi tujuan memulihkan mereka kembali ke ajaran Islam yang sebenar. Kemuncaknya kerajaan telah membina Pusat Pemulihan Akidah di Jelebu, Negeri Sembilan yang menelan belanja RM5 juta. Ia berperanan menyusun program-program yang dapat menjelaskan segala kekeliruan dan salah faham di kalangan pengamal dan penganut ajaran sesat agar kembali ke ajaran Islam yang suci dan lurus.

Pada masa yang sama juga, JAKIM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) selama ini telah bekerjasama dalam menapis dan mengharamkan buku-buku yang mengandungi unsur-unsur penghinaan dan penyelewengan akidah umat Islam. Kini JAKIM sedang menyiapkan peringkat akhir draf Undang-Undang Pemulihan Akidah iaitu undang-undang khusus bagi membendung masalah pertukaran agama di kalangan masyarakat Islam.

Apa yang penting, kerajaan tidak pernah bersikap sambil lewa dalam hal-hal yang berkaitan dengan akidah umat Islam. Segala pendekatan dan saluran digunakan secara bersepadu dan terancang bermula dari pendidikan hinggalah ke penguatkuasaan undang-undang semata-mata untuk melihat akidah umat Islam terpelihara di bumi Malaysia.

Sistem Perbankan Islam

Bagi membuka jalan untuk penubuhan bank Islam di Malaysia, kerajaan telah meluluskan Akta Bank Islam 1983 yang menggariskan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh bank Islam dalam operasinya di Malaysia dan kuasa-kuasa Bank Negara Malaysia dalam menyelia dan mengawal bank Islam. Dalam tahun yang sama juga kerajaan telah meluluskan Akta Pelaburan Kerajaan 1983 yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengeluarkan sijil pelaburan berdasarkan prinsip syariah.

Bank Islam pertama beroperasi di Malaysia ialah Bank Islam Malaysia Berhad pada 1 Mac, 1983 yang menawarkan perkhidmatan sama seperti bank-bank konvensional cuma ia berdasarkan prinsip-prinsip syariah. Selain itu, ia juga mempunyai anak-anak syarikat yang menjalankan operasi berdasarkan prinsip syariah iaitu Syarikat Al-Ijarah Sdn. Bhd. yang menjalankan pemajakan harta tetap, Syarikat Nominees Sdn. Bhd. yang memberi perkhidmatan nomini dan Syarikat Takaful Malaysia Sdn. Bhd. yang memberi perlindungan insurans am dan insurans keluarga.

Kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia juga mempunyai objektif jangka panjang iaitu ingin mewujudkan Sistem Perbankan Islam seiring dengan sistem bank konvensional. Ini dapat dicapai dengan tiga adunan utama iaitu pertama, sistem ini mempunyai ahli yang cukup, kedua, perkhidmatan dan produknya merangkumi keseluruhan sistem bank dan ketiga, perlu diwujudkan pasaran antara-bank yang operasinya mengikut prinsip syariah.

Sejajar dengan objektif itu, pada awal tahun 1993 sebanyak 21 produk bank Islam telah berjaya diwujudkan antaranya al-Wadiah, al-Mudharabah, al-Musyarakah, al-Murabahah, al-Bai bithaman ajil, Bai’ul-salam, al-Ijarah, al-Bai al-ta’jiri, al-Wakalah, al-Rahn, al-Qardhul hassan dan al-Kafalah.Pada 4 Mac, 1994 Bank Negara Malaysia telah melancarkan Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF) di mana institusi kewangan yang ada dibenarkan dan digalakkan untuk menawarkan perkhidmatan berasaskan prinsip syariah. Lantas pada penghujung tahun 1993, Sistem Perbankan Islam di Malaysia telah mengandungi sebuah bank Islam dan 20 buah institusi kewangan konvensional terdiri dari 10 buah bank perdagangan, 8 buah syarikat kewangan dan 2 buah bank saudagar yang menawarkan perkhidmatan dan produk berdasarkan prinsip Islam. Selain itu, pada 3 Januari, 1994 pasaran wang antara-bank secara Islam telah dilaksanakan. Sesungguhnya tanpa kesungguhan dan sokongan yang padu dari pihak kerajaan, Sistem Perbankan Islam di Malaysia tidak akan maju sejauh ini.

Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam

Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran yang diperkenalkan pada tahun 1985 adalah sebahagian daripada pelbagai usaha kerajaan untuk memasukkan unsur-unsur Islam dalam pentadbiran dan kehidupan rakyat Malaysia. Dasar ini bermaksud membimbing dan membentuk akhlak yang berfaedah dalam kehidupan setiap rakyat ke arah ketinggian maruah di samping menanam nilai-nilai murni ke dalam sistem pentadbiran negara.

Rasional pentadbiran dipilih sebagai komponen utama dasar ini ialah bagi melicinkan pelaksanaan sesuatu dasar dan atas kesedaran bahawa kejayaan rancangan-rancangan kerajaan banyak bergantung kepada penjawat-penjawat perkhidmatan awam. Penghayatan kepada nilai-nilai Islam akan dapat menjamin kelancaran dan kecekapan jentera kerajaan serta menghindar perbuatan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Nilai-nilai tersebut iaitu amanah, bertanggungjawab, ikhlas, dedikasi, sederhana, tekun, bersih, berdisiplin, bekerjasama, berbudi mulia dan bersyukur yang berjumlah sebelas kesemuanya adalah nilai-nilai Islam yang dipilih memandangkan ia merupakan kunci kejayaan pentadbiran sesebuah negara.

Penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang mula beroperasi pada 1 Oktober, 1967 mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memelihara dan mengawasi sistem nilai masyarakat. Institusi yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan khusus untuk mencegah perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa diberi kuasa utama di bawah undang-undang iaitu Akta Pencegahan Rasuah 1997, Akta Pencegah Rasuah 1961 (Disemak 1971), Ordinan No.22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Dharurat 1970, Akta Badan Pencegah Rasuah 1982, Kanun Keseksaan (F.M.S. Cap 45), Kanun Prosedur Jenayah (F.M.S. Cap 6), Akta Polis 1967 dan Akta Kastam 1967. Besarnya peranan BPR yang diberi mandat oleh kerajaan dalam memastikan kepentingan awam agar tetap terpelihara, dikuatkan lagi dengan Ketua Pengarahnya adalah dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong iaitu di bawah seksyen 3(2) Akta Badan Pencegah Rasuah.

Bagi memelihara sistem nilai masyarakat juga, kerajaan telah menubuhkan Lembaga Penapisan Filem (LPF) di bawah seksyen 3 Akta Filem (Penapisan) 1952 (disemak tahun 1971). Anggota LPF yang terdiri dari seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan 63 orang ahli di mana semuanya dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong adalah berperanan melindungi masyarakat daripada sebarang pengaruh buruk dan unsur-unsur negatif menerusi filem.

Sungguhpun penubuhan badan-badan seperti ini oleh kerajaan dibuat tanpa sebarang label ‘Islam’ namun kewujudan dan peranan yang dimainkan adalah lahir dari sistem nilai masyarakat Malaysia yang berteraskan Islam.

Pembangunan Masjid

Masjid ialah tempat umat Islam mengerjakan solat wajib lima waktu secara berjamaah di samping menjadi tempat beramal. Masjid juga menjadi tumpuan umat Islam menjalankan pelbagai aktiviti yang berhubung kait dengan kepentingan dan kemajuan masyarakat Islam. Pentingnya peranan masjid ini, menjadikan masjid lebih terhormat daripada bangunan lain di bumi Allah ini. Masjid adalah ‘Rumah Allah’ yang menjadi milik semua orang Islam dan lambang agama Islam yang suci.

Menyedari akan hakikat inilah maka kerajaan telah berusaha sedaya upaya memberi peruntukan yang besar bagi memakmur dan mengimarahkan institusi masjid di Malaysia. Hasilnya masjid-masjid di negara ini adalah jauh lebih baik berbanding keadaan masjid sebelum merdeka apatah lagi di sekitar Dunia Melayu-Nusantara dari segi pembinaan, fizikal dan pengimarahan.

Terbinanya Masjid Negara pada 27 Ogos, 1965 merupakan langkah pertama kerajaan membangunkan institusi masjid dengan menjadikannya sebagai contoh bagi pentadbiran, pengurusan dan pengimarahan masjid seluruh Malaysia. Menerusi Program Takmir Masjid, kerajaan membelanja lebih RM5 juta setiap tahun bagi membantu kerajaan negeri mengadakan kelas-kelas agama dan kuliah-kuliah pengajian bagi menyediakan peluang kepada umat Islam mendalami ilmu dan menghayati ajaran Islam. Ini adalah ekoran kejayaan Rancangan Takmir Masjid Dan Surau yang mula diadakan pada tahun 1986. Ditambah dengan peruntukan dan aktiviti anjuran Jabatan/Majlis Agama Islam negeri-negeri maka umat Islam di negara ini di segenap peringkat tidak ada alasan untuk tidak berpeluang mempelajari dan mendalami ilmu agama.

Usaha yang berterusan tanpa jemu dalam meningkatkan mutu pentadbiran dan pengurusan masjid dijayakan lagi dengan adanya Pertandingan Masjid Contoh, Masjid Terbaik, Lanskap Masjid Terbaik dan sebagainya. Peruntukan dan bantuan kerajaan sentiasa disediakan pada setiap tahun bagi membina masjid, surau dan ruang solat. Sehingga kini hampir di semua premis kerajaan dan swasta, sekolah-sekolah, perhentian bas, rumah rehat, hotel, lebuhraya, lapangan terbang dan tempat-tempat awam telah disediakan kemudahan menunaikan solat. Di samping itu juga, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan taraf dan kedudukan para imam dan kakitangan masjid.

Sememangnya usaha pihak kerajaan dalam membangunkan institusi masjid bahkan surau perlu disokong demi mengimarah dan memakmurkan ‘Rumah Allah’ tempat menunaikan solat iaitu tiang kepada agama Islam.

Pendidikan Islam

Dalam perkembangan awal Islam di Malaysia (negeri-negeri Tanah Melayu) dan daerah Nusantara, Islam disebar melalui usaha pedagang-pedagang dari negara Arab, India dan China yang tentunya dipengaruhi pelbagai mazhab, budaya dan pengaruh-pengaruh luar. Islam diajar di istana-istana kemudian di masjid dan seterusnya di sekolah-sekolah pondok. Kini mata pelajaran agama Islam diajar secara bersepadu dan seragam di semua peringkat bermula dari sekolah rendah hinggalah ke maktab dan universiti.

Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 telah banyak memperakukan supaya taraf pendidikan Islam diperluas dan dipertingkatkan. Pada tahun-tahun 80an, kita dapati pendidikan Islam telah dijadikan dasar dan tunjang dalam penggubalan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan juga Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Sekolah-sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) telah mencapai angka 40 buah. Kelas-kelas aliran agama telah dibuka di lebih 200 buah sekolah Menengah Kebangsaan. Universiti Islam telah diwujudkan dan pendidikan Islam diajar di semua Pusat Pengajian Tinggi dan Maktab-Maktab Perguruan.

Kewujudan sekolah berasrama penuh bantuan kerajaan seperti Kolej Islam Sultan Alam Shah dirancakkan lagi dengan lahirnya kolej-kolej dan Pusat–Pusat Pengajian Tinggi Islam milik kerajaan negeri dan swasta seperti Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) pada 1980, Kolej Islam Melaka (KIM) pada 1994, Kolej Islam Darul Ehsan (KISDAR) ada 1996, Kolej Universiti Teknologi Islam (UNITI) pada 1997 dan Jamiah Islamiah Sultan Ismail Petra (JAIPETRA) juga pada 1997.

Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang ditubuhkan pada 1983 merupakan mercu pendidikan Islam di Malaysia. Pusat Pengajian Tinggi Islam ini mengadunkan pelbagai disiplin ilmu dengan kemantapan iman dan kefahaman Islam yang jelas, luas dan dinamik. Graduannya yang datang dari 73 buah negara melambangkan betapa mutu pendidikan dan kualiti tenaga pengajarnya diterima dan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Usaha kerajaan Malaysia untuk menjadikan Malaysia satu pusat destinasi pendidikan tinggi bertaraf dunia dijayakan lagi dengan tertubuhnya Institut Antarabangsa Pemikiran Dan Tamadun Islam (ISTAC) pada tahun 1987. Dengan terdirinya ISTAC maka kehendak pengkaji dan penuntut untuk mendalami ilmu-ilmu Islam di peringkat tinggi setanding dengan institusi seumpamanya di luar negara telah tercapai. Tenaga-tenaga akademik ISTAC yang sering membentangkan kertas-kertas kerja di banyak tempat di serata dunia secara langsung menaikkan nama negara. Pendek kata, pendidikan Islam di Malaysia telah berada di puncak kecemerlangannya.

Pengurusan Zakat

Zakat yang merupakan rukun Islam yang keempat tidak pernah diabaikan oleh kerajaan dalam merancang sistem pungutan, pengurusan dan pengagihan dengan lebih cekap dan sistematik. Ini kerana zakat adalah antara sumber atau dana utama bagi Baitulmal dalam menjalankan pelbagai

program dan mendirikan pusat-pusat sosial, kebajikan dan pendidikan khusus untuk menolong masyarakat Islam di samping mengagihkan kutipan zakat kepada lapan asnaf (golongan) yang telah ditetapkan oleh syarak.

Maka dengan itu, pada 1 Januari, 1991 Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Kuala Lumpur telah ditubuhkan bagi mengutip semua jenis zakat terutama zakat harta, zakat perniagaan, zakat saham dan juga zakat simpanan dan emas. PPZ telah menjadi satu contoh organisasi kutipan zakat di Malasyia kerana kecekapan dan keberkesanannya meningkatkan kutipan zakat dari setahun ke setahun dan banyak menolong meningkatkan kesedaran masyarakat Islam untuk berzakat. PPZ juga adalah organisasi zakat yang pertama di dunia menggunakan komputer dalam menjalankan urusan hariannya dan mempunyai tenaga yang terlatih menjalankan tugas secara profesional dan sistematik.

Lembaga Tabung Haji

Malaysia merupakan negara pertama di dunia Islam yang mengujudkan sistem pengurusan ibadat haji untuk rakyatnya secara aktif dan sistematik. Lembaga Tabung Haji (dulu dikenali sebagai Lembaga Urusan Dan Tabung Haji) telah ditubuhkan pada 1 November, 1962 dan mula beroperasi pada 1 April, 1963. Penubuhannya selepas 5 tahun kemerdekaan menunjukkan keperihatinan yang tinggi pihak kerajaan dalam membantu rakyatnya beragama Islam menunaikan ibadat haji iaitu rukun Islam yang kelima.

Apa yang lebih menariknya, Lembaga Tabung Haji (LTH) bukan setakat memberi perkhidmatan dan kemudahan menunaikan ibadat haji kepada para pendepositnya yang kini seramai 3.5 juta dengan simpanan lebih RM6 bilion, malahan menceburkan diri dalam bidang pelaburan dan perniagaan. Kini LTH merupakan satu institusi permodalan dan perkhidmatan gergasi yang memiliki aset bernilai berbillion ringgit dalam pelbagai sektor seperti perniagaan, perusahaan, pendidikan, pelaburan dan perkhidmatan.

Kesungguhan kerajaan dalam memantapkan organisasi LTH, merancakkan operasinya serta menggandakan tabungan dan simpanan umat Islam ditingkatkan lagi dengan berkuatkuasanya Akta Lembanga Tabung Haji 1995 pada 1 Jun 1995. Beberapa akta baru diubahsuai dari akta yang lama iaitu Akta Lembaga Urusan Dan Tabung Haji 1969 di mana LTH dapat memantapkan sistem pengurusannya dengan penstrukturan baru di samping mempertingkatkan pembangunan sumber manusia, memperluaskan bidang pelaburan, memaksimumkan pulangan dan keuntungan dari pelbagai aset tanaman modal dan peningkatan mutu perkhidmatan dan kemudahan.

Kunjungan pemimpin-pemimpin negara dari Dunia Islam yang memuji serta ingin mempelajari selok belok operasi dan pengurusan haji di Malaysia telah meletakkan negara ini di mercu kecemerlangan pembangunan dan kemajuan Islam khasnya memberi perkhidmatan berkualiti kepada para tetamu Allah, menaikkan ekonomi umat Islam dan memenuhi tuntutan fardu kifayah umat Islam di Malaysia.

Program Dakwah Islamiah

Atas kesedaran bahawa tugas manusia diutuskan ke muka bumi ini ialah untuk menyampaikan risalah Islam sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. maka kerajaan dengan penuh kesungguhan telah menggerakkan seluruh jentera kerajaan, mempelbagaikan aktiviti dan program serta menubuhkan badan-badan dakwah khusus menjalankan tugas-tugas dakwah dan memastikan risalah Islam ini sampai kepada semua masyarakat Malaysia sama ada yang beragama Islam atau bukan beragama Islam. Kerajaan amat mengambil berat tentang mesej dan kefahaman Islam yang sebenar iaitu Islam sebagai Ad-Din iaitu satu cara hidup, sederhana, mudah, toleransi, harmoni dan kesejahteraan.

Dalam menjayakan hasrat yang suci lagi murni ini dan meneruskan tugas para nabi-nabi dan rasul-rasul, kerajaan menyedia peruntukan yang besar kepada JAKIM bagi tugas-tugas tersebut. Di samping itu, kerajaan sentiasa memberi kerjasama dan komitmen yang tinggi kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam menjalankan program dakwah dengan memberi sokongan dalam pelbagai bentuk sama ada material, kewangan, nasihat, kepakaran dan sebagainya. Badan-badan bukan kerajaan seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Badan Dakwah Islamiah Bagi Kawasan Asia Tenggara Dan Pasifik (RISEAP) dan sebagainya sentiasa diberi sokongan dan berganding bahu dalam tugas-tugas dakwah.

Bagi masyarakat orang asli, JAKIM sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia serta badan-badan sukarela menjalankan program dakwah sama ada secara lisan atau kerja-kerja kebajikan. JAKIM menerusi Penggerak Masyarakat Orang Asli berusaha sedaya upaya menunjukkan contoh keperibadian muslim dan cara hidup menurut Islam di kalangan mereka.

Bagi memantapkan lagi usaha penjelasan dan kefahaman Islam ini maka Kerajaan telah menubuhkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 3 Julai 1992 khusus untuk memperbetulkan sebarang salah faham terhadap Islam dan mengetengahkan konsep dan prinsip Islam yang universal dalam berhadapan cabaran masa kini.

Di samping itu, JAKIM selaku nadi program dakwah kerajaan, telah menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan dakwah seperti media elektronik dan media cetak. Pelbagai program berbentuk keagamaan dan bimbingan disiarkan menerusi saluran radio dan televisyen. Begitu juga pelbagai bahan bercetak diterbitkan sama ada berbentuk jualan atau percuma dalam pelbagai bahasa dan untuk pelbagai golongan. Program-program ceramah seperti Forum Perdana Hal Ehwal Islam juga diperluaskan dengan lebih tersusun, terancang dan berkesan. Usaha dakwah yang bersungguh-sungguh dan berterusan ini kini jelas membawa perubahan kepada masyarakat Islam sehingga timbul kesedaran betapa perlunya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar serta menghayati cara hidup yang berteraskan Islam.

Pengukuhan Institusi Keluarga

Keluarga merupakan agen pembangunan kepada sesebuah masyarakat dan negara. Kukuh dan utuhnya institusi keluarga maka kuat dan majulah masyarakat dan negara. Berasaskan peri pentingnya pembinaan dan pengukuhan institusi kekeluargaan bagi mewujudkan kebahagian dan keharmonian rumahtangga yang merangkumi aspek rohani dan jasmani bagi menghadapi cabaran zaman dan sesuai dengan Wawasan 2020 maka pada 1 Julai 1992 kerajaan telah melancarkan Program Rumahku Syurgaku. Program jangka panjang ini bermatlamat melahirkan satu bangsa Malaysia yang bukan sekadar maju dari segi pembangunan fizikal tetapi memilki sifat-sifat unggul, murni dan nilai-nilai terpuji.

Al-Quran menggambarkan bahawa syurga itu merupakan tempat yang penuh kenikmatan dan keselesaan di mana penghuninya tidak merasa jemu dan bosan berada di dalamnya. Gambaran yang seumpama inilah yang mahu kita hayati dalam kehidupan berumahtangga di kalangan masyarakat Islam negara ini. Dengan mengambil kira institusi keluarga memainkan peranan penting bagi mencapai matlamat Wawasan 2020 maka sebab itulah kerajaan menjadikan rumah sebagai tempat bermula segala-galanya.

Memandangkan kebahagiaan rumahtangga bermula dari pemilihan pasangan yang beriman dan bertaqwa maka pada tahun 1996 kerajaan telah melancarkan Modul Bersepadu Kursus Pra-Perkahwinan Islam. Modul yang dirangka dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri adalah bertujuan mewajibkan pasangan Islam yang ingin berkahwin mengikuti kursus bagi mendalami asas-asas ajaran Islam dan tanggungjawab selaku suami isteri. Usaha seperti ini diharapkan dapat mengurangkan pergolakan rumahtangga dan mengelakkan perceraian yang banyak berpunca dari kurang mendalami ilmu agama.

Penghayatan Al-Quran

Al-Quran yang merupakan kalam Allah dan mukjizat Rasulullah s.a.w. yang masih wujud sehingga kini sememangnya mengandungi ajaran-ajaran dan perintah-perintah Allah s.w.t. yang mampu membawa kepada kemurnian peribadi Islam dan kecemerlangan hidup masyarakat Islam di dunia dan di akhirat. Berteraskan betapa penghayatan al-Quran perlu ditanam di dalam diri sanubari umat Islam maka kerajaan menerusi JAKIM telah melancarkan Kelas Al-Quran Dan Fardu Ain (KAFA) pada tahun 1990 dengan peruntukan RM77 juta setiap tahun. Program pendidikan celik al-Quran dan fardu ain ini ditanamkan ke dalam jiwa generasi umat Islam yang berusia 7 hingga 12 tahun. Sehingga kini sebanyak 29,358 buah kelas KAFA berjaya didirikan dengan tenaga pengajar juga seramai 29,358 orang dan bilangan murid-muridnya kini meningkat kepada 998,172 orang. Permintaan penubuhan sekolah baru dan kemasukan pelajar semakin meningkat dari semasa ke semasa. Ini menggambarkan betapa kesedaran dan penghayatan masyarakat terhadap cintakan al-Quran telah semakin bertambah dan mantap hasil dari program KAFA ini.

Bagi menyempurnakan penghayatan Al-Quran ke dalam masyarakat, Kerajaan telah menubuhkan Darul Quran di Kuala Kubu Bharu, Selangor Darul Ehsan bagi melahirkan para hafiz dari kalangan lelaki dan wanita. Objektif jangka panjang kerajaan dengan terbinanya Darul Quran yang bernilai RM26 juta ini adalah untuk membekalkan para hafiz sebagai imam-imam masjid di seluruh negara. Apa yang lebih menariknya ialah institusi pengajian tinggi dalam bidang tahfiz al-Quran ini menerusi Diploma Tahfiz Al-Quran telah berjaya menyatupadukan semua maahad dan madrasah tahfiz al-Quran sama ada milik kerajaan negeri atau swasta di seluruh Malaysia khususnya dari segi kurikulum dan tempoh pengajian.

Kemuncak usaha penghayatan al-Quran oleh Kerajaan ialah dengan menganjurkan Musabaqah Tilawah Al-Quran dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan juga Peringkat Antarabangsa. Penyertaan peserta dari negara-negara asing yang semakin bertambah dari tahun ke tahun menunjukkan sambutan yang menggalakkan dari masyarakat antarabangsa dan betapa Malaysia mendapat pengiktirafan dan penghormatan tertinggi di persada antarabangsa. Apa yang lebih penting ialah perjalanan proses pemilihan qari dan qariah di Malaysia yang melalui peringkat kampung, mukim, daerah, negeri seterusnya kebangsaan sudah pasti disertai oleh ratusan qari dan qariah yang baik bacaan dan kefasihannya. Proses yang memakan masa berbulan-bulan ini sebenarnya telah memenuhkan ruang langit negara Malaysia dengan kemerduan bacaan ayat-ayat al-Quran. Begitu juga buminya dibasahi dan disirami dengan ayat-ayat suci al-Quran. Suasana seperti ini sebenarnya mendekatkan negara kita dengan keberkatan daripada Allah s.w.t. lantaran menyuburkan ruang angkasa dan bumi permainya dengan mukjizat al-Quran.

Syiar Islam

Sejak merdeka, usaha meninggikan syiar Islam telah dilaksanakan dengan gigih yang bertujuan selain untuk meningkatkan kesedaran keIslaman kepada masyarakat dan generasi muda Islam, ia juga untuk memperlihatkan kepada masyarakat bukan Islam di dalam dan luar negara tentang ketinggian dan kemuliaan Islam dari segi keagamaan, perpaduan, keindahan, kegemilangan sejarahnya dan pengaruhnya di gugusan Nusantara dan antarabangsa.

Dalam memelihara dan menonjolkan kesenian Islam dan tamadun kegemilangan umat Islam terdahulu, kerajaan dengan usahasama pihak swasta sedang mendirikan Muzium Kesenian Islam yang bernilai RM50 juta. Muzium yang bakal mengumpulkan barangan berkesenian Islam dari seluruh pelosok dunia adalah merupakan yang pertama seumpamanya dibina di rantau ini. Projek ini adalah salah satu usaha kerajaan menyebarkan ilmu dan maklumat berkaitan Islam secara meluas dan berterusan melalui kesenian Islam. Selain menyimpan artifak-artifak dan barangan kesenian Islam, ia juga berperanan memelihara dan membaik pulih serta sebagai pendidik kesenian dan seni bina Islam kepada generasi Islam alaf baru.

Pelbagai acara sambutan dan perayaan telah diadakan setiap tahun seperti Majlis Sambutan Ma’al Hijrah, Majlis Sambutan Maulidur Rasul, Nuzul Al-Quran, Israk Mikraj, Pertandingan Nasyid, Pertandingan Marhaban, Musabaqah Tilawah Al-Quran, Pertandingan Menghafaz Al-Quran, Pesta Lagu-Lagu Dakwah dan sebagainya sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Program-program yang mencetuskan kesedaran dan keagungan kepada agama Islam yang seumpama ini sangat penting terutama bagi perjuangan ummah memartabatkan Islam di muka bumi ini.

Kerajaan percaya program dan aktiviti seperti ini adalah unsur pendidikan tidak formal yang sangat penting bagi menimbulkan rasa cinta kepada Allah, kasihkan Rasulullah s.a.w. dan semangat untuk mematuhi ajaran-ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah. Kerajaan sememangnya mengakui bahawa perjuangan membangunkan ummah tidak boleh bergantung kepada suatu program tertentu sahaja dan mengharapkan kejayaan dalam tempoh yang cepat dan pendek malahan proses pembangunan

ummah yang teguh dan kuat memerlukan kerja-kerja yang berterusan dan bersepadu di samping menggunakan dan memanfaatkan segala saluran dan alternatif yang ada.

PENUTUP

Sebenarnya selama ini terlalu banyak usaha-usaha kerajaan yang telah dibuat dan disokong bagi membawa pembangunan kepada umat Islam di Malaysia seperti penubuhan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Pusat-pusat Rawatan Islam, Kolej Kejururawatan Islam, Perpustakaan Awam Islam, Sijil Pengesahan Halal, Darul Sa’adah, Yayasan-Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam, Biro Bantuan Guaman, Sistem Maklumat Perkahwinan Islam (SIMPI) dan sebagainya.

Sesungguhnya masa depan Islam di Malaysia sudah menampakkan cahaya kecemerlangannya. Rata-rata umat Islam negara ini merasa terjamin dan berganding bahu dalam meneruskan usaha-usaha pembangunan dan kemajuan Islam yang sedang rancak dilaksanakan. Perancangan dan pembangunan Islam mesti diteruskan dan disambung perjuangannya oleh generasi akan datang. Kita yakin generasi muda umat ini yang telah kita bekalkan dengan persediaan jasmani dan rohani yang cukup mampu memartabatkan Islam di bumi Allah ini. Oleh itu, sokongan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap usaha-usaha kerajaan ini perlulah wujud di kalangan rakyat dan pemimpin negara. Sesungguhnya pembangunan dan kemajuan umat tidak akan tercapai tanpa perpaduan yang utuh di kalangan umat Islam.

rujukan : http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=464

Comments

Popular posts from this blog

GARIS PANDUAN. PENGALIHAN DAN PEMASANGAN SEMULA. KEMUDAHAN UTILITI DALAM PELAKSANAAN PROGRAM DAN PROJEK KERAJAAN

Garis Panduan. Pengalihan Dan Pemasangan Semula. Kemudahan Utiliti Dalam Pelaksanaan Program Dan Projek Kerajaan BIL 2 TAHUN 2010 http://www.icu.gov.my/pdf/gp/gp_pemasangan_utiliti_02.pdf https://drive.google.com/open?id=0B0GqQCBrzlerOS1EUFptcG9MS2s Surat Arahan KPKR bil 5/2011 http://www.icu.gov.my/pdf/pk/pkrp/SAKPKR5%20tahun%202011.pdf https://drive.google.com/open?id=0B0GqQCBrzlerU1EwUzZYVFJmTGc